Hari ini 733 tahun yang lalu, kota Acre berjaya ditawan tentera Mamluk dari tangan tentera Salib.
Acre merupakan kota pelabuhan penting yang terletak di utara Palestin, berada di bawah kekuasaan Ayyubiyah selepas Sultan Salahuddin al-Ayyubi menawan Al-Quds pada 1187. Perang Salib ke-3 dilancarkan sebagai respons & kota itu jatuh semula ke tangan angkatan Salib pada 1191.
Muncul Kesultanan Mamluk di Mesir pada 1250, yang lebih kuat daripada Ayyubiyah. Mamluk mempunyai angkatan berkuda yang dahsyat, menyebabkan kuasa Kristian bersikap neutral terhadap mereka.
Begitupun lepas kejayaan menepis ancaman Mongol di Ain Jalut pada 1260, Sultan Baibars memimpin Mamluk untuk berdepan dengan angkatan Salib. Satu demi satu kota penting ditawan, membuka jalan menuju Al-Quds.
Kristian terus bergelut untuk kekal berkuasa di Levant & Mamluk terus menekan. Sultan ke-7, Al-Mansur Qalawun meneruskan misi dengan menakluk Tripoli pada 1289, namun menanti saat terbaik untuk mara ke Acre.
Hinggalah pada Ogos 1290, tentera Kristian telah merompak & membunuh penduduk Islam di Acre. Bila pentadbir Acre, Knights Templar enggan mengekstradisikan para pembunuh kepada Mamluk untuk pengadilan, Qalawun mengisytiharkan perang.
Qalawun meninggal dunia pada Disember 1290 & anaknya Al-Ashraf Khalil mengambil alih kepimpinan. Beliau memulakan pengepungan Acre pada April 1291 pada skala tentera & intensiti serangan yang hebat. Rundingan gagal bila angkatan Salib enggan menyerah dengan apa syarat sekali pun.
Maka pada dinihari tanggal 18 Mei, angkatan Mamluk memecah masuk kubu Acre. Walaupun berdepan tentangan oleh barisan terakhir Knights Templar dalam keadaan cuaca yang buruk, akhirnya pada malam itu, kota tersebut berjaya ditawan Mamluk.
Penaklukan Acre menandakan berakhirnya penguasaan Kristian di bumi Palestin sekaligus menamatkan Perang Salib merebut Al-Quds yang bermula sejak 1095.
Sumber: Sky History, World History
#PeristiwaHariIni
No comments:
Post a Comment